Tuesday, September 21, 2021

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ini. Blog yang mungkin akan memberi banyak manfaat dan kefahaman dalam kehidupan seterusnya akan membawa kepada ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup sekiranya anda mengikuti semua pengisian dan pencerahan yang ada di dalamnya. InshaAllah. 

Sebagai pembuka bicara, izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Haji Faizal Yusup. Insan biasa, anak Pak Gad, penulis 11 buah buku. 4 darinya ialah buku motivasi dan 2 darinya memenangi Dana Anugerah Penulis daripada Kementerian Multimedia dan Komunikasi pada tahun 2012 dahulu. Saya juga dikenali sebagai seorang sifu saham di Bursa Malaysia.

Tak mengapalah itu tak penting. Anggaplah saya hanya sebagai seorang posmen yang menyampaikan surat yang amat penting. Posmen tak penting, apa yang penting ialah input yang disampaikan.

Sejak pandemik Covid19 melanda negara ia telah membawa impak yang teruk kepada majoriti penduduk negara ini. Ramai yang terjejas. Ada yang dipotong gaji, ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas kerana PKP dan sebagainya. Gangguan terhadap mata pencarian pula membawa kepada masalah yang lain pula antara tekanan atau stress serta kemurungan yang lantas membawa kepada pengambilan dadah, alkohol dan sebagainya. Seterusnya menyebabkan masalah perhubungan, keretakan rumahtangga, penceraian, masalah mental malah lebih teruk lagi hingga ada yang membunuh diri.

Kemudian saya juga nampak begitu banyak perselisihan dan perbalahan di kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam dari semua peringkat. Dari pemimpin politik ke ahli akademik, ahli ugama dan menuju ke bawah di kalangan orang awam. Ummah nampaknya semakin sakit daripada pandangan saya. Bukankan kita manusia kena bersatu, menjaga silaturrahim dan berkasih sayang. Bukankah kalau nak masuk syurga Allah kita kena miliki hati yang sejahtera?     

Terkesan melihat situasi ini, saya mengambil keputusan untuk memulakan satu program atau satu gerakan yang saya namakan sebagai program Minda Akhirat.

Kenapa?

Kerana saya yakin pegangan minda akhirat iaitu menjalani kehidupan dengan menggunakan mata hati yakni melakukan apa sahaja dengan melihat kepada apakah implikasinya kepada hari akhirat kelak atau menjalankan sesuatu pekerjaan dengan menganalisis samaada pekerjaan itu berada dalam landasan syariat yang diredai Allah Taala atau tidak. Pegangan ini telah membawa kebaikan yang banyak buat saya dan saya harap dengan menghurai dan berkongsi semua ilmu yang Allah kurniakan sepanjang hidup ini juga bakal membawa kesan yang serupa dalam hidup anda tak kira anda berada di mana walau dalam apa juga yang anda lakukan. InshaAllah.

Lagipun sebagai orang Islam kita tahu yang "kalau kita kejar dunia, dunia akan jadi sempit buat kita tetapi kalau kita kejar akhirat, dunia dan akhirat akan menjadi lapang buat kita..."

Inilah asas program Minda Akhirat ini.


Program Minda Akhirat ini sebenarnya lebih kepada pengisian peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua orang dan ia dibentuk khas untuk orang melayu beragama Islam di Malaysia. Saya bukan Ustaz yang boleh menyampaikan ilmu ugama peringkat tinggi. Saya hanya berkongsi ilmu-ilmu asas peringkat rendah. Yelah kalau kita tak belajar di sekolah rendah manakan kita boleh belajar di peringkat Diploma, Ijazah dan sebagainya. Anda boleh belajar dengan ramai lagi ustaz-ustaz di Malaysia malah di dunia untuk belajar yang peringkat tinggi itu. Di sini pengisiannya ialah pengisian peringkat asas tapi ia AMAT penting kerana kalau kita tak punya ilmu peringkat dasar ini maka kita takkan berjaya dalam peringkat yang lebih tinggi.

Analoginya mudah, semasa bayi, kita belajar merangkak dahulu baru bertatih. Kita belajar bertatih dahulu sebalum kita boleh berjalan dan seterusnya berlari. Jadi di sinilah asas permulaannya.

Sebagai permulaan saya minta anda semua lapangkan dada. Kosongkan minda dan mula masukkan pengisian Minda Akhirat ini satu persatu ke dalam hati anda. InshaAllah ia akan bawa banyak kebaikan buat diri anda. Percayalah. "Untuk berjaya di dunia kita perlukan ILMU dan untuk berjaya di akhirat juga kita perlukan ILMU!"

Manalah tahu selepas selesai pengisian ini anda menjadi seorang yang berminda akhirat, punya akhlak yang mulia, berkasih sayang, sentiasa berpegang pada tali Allah seterusnya dikurniakan dengan petunjuk dan hidayah lantas menjadi seorang yang beriman dan beramal dan akhirnya menjadi mukmin yang berada dalam lindungan dan peliharaan Allah Taala di dunia dan di akhirat. InshaAllah.  

Sekiranya anda mendapati yang huraian dan pencerahan Minda Akhirat ini bermanfaat, sudilah kiranya anda kongsikan ilmu ini kepada sesiapa sahaja. Ia ilmu Allah, ia sama sekali percuma! 

Salam perkenalan. Semoga Allah meredai segala usaha ini. Amiinn. InshaAllah.

Sekian dulu buat kali ini.

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


 

2 Ogos 2021

Tuesday, September 7, 2021

BAB 1 - OBJEKTIF PROGRAM MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

OBJEKTIF PROGRAM MINDA AKHIRAT

Dalam bab pertama ini mari kita lihat apakah objektif pengisian Minda Akhirat ini. Antara objektif pengisian Minda Akhirat adalah sepertimana dalam gambarajah di bawah ini ;


MENGAJAK SEMUA KEMBALI KE JALAN ALLAH

Pertamanya ingin mengajak kita semua kembali ke jalan Allah. Ternyata daripada umat akhir zaman, umat yang terdedah kepada dosa dan noda hinggakan kadang-kadang kita terlupa dan hanyut dengan permainan dunia. Kita jadi orang yang mengejar dunia, mengejar harta, mengejar nama, mengejar pangkat dan mengejar kekayaan di dunia ini sedangkan semua ini bersifat sementara dan sama sekali tidak kekal. Semua ini tidak menjanjikan kebahagiaan dan keselamatan di akhirat nanti. Mereka yang selamat hanya mereka yang berpegang utuh kepada tali Allah Taala. 

MENGENALI DAN MENDALAMI SARANAN ISLAM

Keduanya saya ingin mengajak kita semua untuk sama-sama mengenali dan mendalami apakah yang disarankan Islam buat kita makhluk bernama manusia ini. Ini kerana agama Islam adalah agama yang serba lengkap untuk dijadikan panduan dalam sepanjang kehidupan. Ugama untuk semua manusia. Ugama yang memberikan penyelesaian dalam semua hal. Ugama yang diredhai Allah Taala. 

MENINGKATKAN JATI DIRI UMMAH

Seterusnya saya yakin yang pengisian minda akhirat ini boleh membantu dalam meningkatkan jati diri. Manusia yang beragama Islam dan yang beriman kepada Allah sebenarnya merupakan manusia yang paling kuat. Ini kerana kita akan berada dalam lindungan dan peliharaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kekuatan itu datang kerana kita ada Allah. Kekuatan ini akan menjadikan kita insan yang tabah dan yakin dalam menjalani kehidupan di dunia yang pernuh dengan dugaan dan cabaran itu.

MENGENALI DIRI SEBAGAI HAMBA ALLAH

Bila kita tidak kenal diri, bila kita tak kenal siapa diri kita, ia menjadikan kita sombong, malah jadi keliru yang mana menyebabkan kita tidak tahu akan hala tuju ke mana kita hendak pergi dan apakah yang perlu kita lakukan sepanjang kita hidup di muka bumi ini, dalam erti kata lain kita berada dalam kegelapan. InshaAllah huraian Minda Akhirat ini akan dapat membantu menyuluh dan menerangkan perjalanan. 

MENYUSUN DAN MENCUKUPKAN ILMU PENGETAHUAN YANG ADA

Tak kisahlah sama ada anda orang muda ataupun orang tua tu yang telah mempunyai banyak ilmu pengetahuan yang terdahulu. Pengisian minda akhirat ini sesuai untuk semua orang tak kira dalam apa peringkat sekalipun. Kepada yang muda ia akan menjadi ilmu yang baru, kepada yang sudah berumur pula pengisian ini akan menyusun ilmu-ilmu yang ada di dalam dada dan InshaAllah mencukupkannya. Ia umpama permainan Jigzaw Puzzle. Dalam diri kita selama ini input masuk secara tidak tersusun, tidak mengikut tertibnya. Ia masuk  secara berterabur sejak dari kecil lagi. Bila ia berterabur begitu di dalam diri maka kita tidak nampak gambaran keseluruhannya. Pengisian Minda Akhirat ini berfungsi untuk menyusun cebisan-cebisan ilmu itu serta mencukupkan cebisan yang hilang atau tiada dalam diri seseorang itu dan seterusnya bila ia dipasang pada tempatnya barulah kita akan nampak gambaran keseluruhan kehidupan ini.

MENGHURAIKAN PENGISIAN BARU DARI PERSPEKTIF YANG BERBEZA

Sekiranya anda tidak pernah mendengar input yang ada di dalam buku ini maka ia dikira sebagai pengisian baru tetapi sekiranya anda pernah mendengarnya saya yakin ilmu dan huraian yang ada di dalam buku ini akan memberikan satu perspektif yang berbeza daripada apa yang pernah anda pelajari sebelum ini. Perspektif yang segar.

MEMPERBAIKI NILAI DAN PRINSIP PEGANGAN

Dalam kehidupan kita secara tak langsung akan membentuk nilai dan prinsip pegangan diri. Dalam apa juga dilema kehidupan maka prinsip inilah yang akan kita rujuk demi memberikan jawapan dalam membuat keputusan. Namun adakah ia prinsip pegangan yang terbaik? Persoalan seterusnya di sini adakah pembentukan nilai dan prinsip diri kita itu dilakukan secara objektif, tertib dan tersusun atau sebaliknya ia masuk dan terbentuk dalam diri kita secara berterabur dalam tidak sedar. Itu satu persoalan, persoalan kedua ialah adakah nilai dari prinsip itu merupakan prinsip yang utuh lagi benar dan atas dasar apakah prinsip itu terbentuk.  Di sini dalam pengisian Minda Akhirat, nilai dan prinsip pegangan yang terbaik berlandaskan Al-Quran dan Sunnah akan dihuraikan. InshaAllah prinsip pegangan Minda Akhirat ini akan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat. 

MEMBENTUK MINDA AKHIRAT

Akhir sekali objektif program Minda Akhirat ini tak lain bertujuan untuk membentuk Minda Akhirat. Minda yang sentiasa memilih untuk melakukan kebaikan dan bukannya kerosakan. Minda yang memandang dunia dengan mata hati. Dunia dijadikan landasan untuk ke akhirat. Dunia dijadikan tempat untuk mengumpul saham akhirat  demi kejayaan di dunia dan di akhirat. InshaAllah.

Teruskanlah membaca, perjalanan kita baru sahaja bermula. Biarpun objektifnya nampak begitu dalam tapi tak perlu risau kerana isi-isi dalam blog ini disampaikan dengan cara yang santai dan mudah difahami. InshaAllah ia akan membuka minda.

Itu sahaja buat kali ini...

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

BAB 2 - KANDUNGAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH







KANDUNGAN


Analisis diri dari atas ke bawah

Sejarah diri

Nilai Pembentukan Orang Melayu Islam di Malaysia

Perjalanan kehidupan – Dari mana dan kemana nak ditujui

Islam itu benar

Islam itu lengkap

Pencipta dan yang dicipta

Makhluk dan kejadian

Perbezaan Makhluk dan Kejadian

Fungsi Makhluk

Tugas Makhluk

Kepatuhan Makhluk

Kemuliaan Makhluk

Ibadah Makhluk

Hiraki Makhluk

Kepatuhan Makhluk

Konsep Tauhid

Pergantungan Makhluk

Pembentukan Sifat dan Sikap

Dugaan Penguji Keimanan

Konsep Segitiga

Pembentukan Hati Yang Bersih

Konsep 4P – Kaedah Mengubah Sikap 

Pengisian

Pengulangan

Pengukuhan

Penerapan

Bagaimana Minda Dunia vs Minda Akhirat Terbentuk

Nilai Dalam Diri

Elemen Keperluan Diri

Kesimbangan Diri

Rahsia Minda

Tahu ke tak tahu

Perbezaan Penerapan Nilai Dunia vs Akhirat

Learn, Unlearn and Relearn

Penerapan Islam

Minda Akhirat

Rukun Iman dan Rukun Islam

Al Quran dan As Sunnah

Pegangan Minda Akhirat

Pandangan 3 Mata

Minda Dunia vs Minda Akhirat

Rahsia Hubungan Bahagia

Kesimpulan

3 Perkara dibawa Mati

Penutup

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


BAB 3 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - ANALISIS DIRI DARI ATAS KE BAWAH

 


Sebagai permulaan, kita mulakan dengan menghuraikan kaedah penyusunan blog ini. Ia disusun dengan memandang kepada perkara yang besar iaitu daripada elemen makro kepada elemen mikro yang sekecil-kecilnya yang berada di alam ini.


Elemen makro di sini bermula dengan sejarah hidup seseorang manusia berbangsa Melayu agama beragama Islam yang dilahirkan di Malaysia. Kemudian bagaimana mereka membesar dimana keadaan sekeliling, keluarga dan persekolahan membentuk jati diri individu tersebut.

Kemudian huraian mengenai perjalanan kehidupan kita sebagai manusia dari mana kita datang dan kemana kita nak tuju. Apakah yang perlu kita lakukan di dunia ini untuk kita berjaya dalam perjalanan yang seterusnya. Sebenarnya untuk berjaya dalam hidup di dunia perlukan strategi dan untuk berjaya di akhirat juga perlukan strategi. 


Seterusnya kepada elemen yang lebih kecil iaitu berkenalan dengan Pencipta yakni Allah SWT serta pelbagai makhluk ciptaanNya termasuk kita manusia. Fahami perbezaan, fungsi dan tugas setiap makhluk dan dimana kedudukan kita sebagai manusia dalam hiraki tersebut.

Akhir sekali adalah huraian mengenai pembentukan Minda Akhirat dalam diri kita. Minda akhirat akan menjadikan kita sentiasa berhubungan dengan Allah dan menghubungkaitkan setiap amalan dan perbuatan dengan hari akhirat. Berusaha untuk mengumpul saham akhirat saban hari dalam kehidupan.

Itulah susun aturnya. Ini bermakna untuk memahami semua ini anda kenalah membaca pengisian blog ini dari mula hingga ke hujungnya.

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;
https://instagram.com/minda_akhirat?utm_medium=copy_link

BAB 4 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - MALAYSIA MERDEKA

MALAYSIA MERDEKA

Sebenarnya negara kita ini masih muda dan mentah. Untuk memudahkan kefahaman cuba perhatikan paparan di  bawah ini.




Di sini jelas sebenarnya negara kita baru sahaja merdeka. Merdeka dari penjajahan Kolonial sejak beberapa dekad yang lalu. 61 tahun. Pada ketika blog ini ditulis Amerika telah punya 46 Presiden Malaysia baru ada 8. Dalam ertikata lain Malaysia baru umur 8 tahun. Masih kanak-kanak sedangkan Amerika sudahpun berumur 45 tahun. Ia sudah dewasa.

Mungkin inilah sebabnya mereka jauh lebih maju dari semua segi. Sains dan Teknologi, Ketenteraan,  Perniagaan, Ekonomi, Pendidikan, Undang-Undang, Pembangunan dan sebagainya. Mereka mencipta pelbagai produk dan servis dan kita pula adalah golongan yang menggunakannya. Kita tak dapat nak bersaing dengan teknologi mereka. Mereka ada Tesla kita cuma ada Proton, mereka ada Iphone kita tak ada apa-apa, mereka ada Facebook kita juga kalah dengan mereka. Syarikat dan ekonomi mereka jauh lebih besar dari kita. Ekonomi negara kita hanya sekitar 0.4% sahaja dari keseluruhan ekonomi dunia.

Begitupun harus diingat semasa awal tamadun mereka di zaman mereka berusia kanak-kanak mereka juga berperang antara satu sama lain, rasuah berleluasa, banyak undang-undang yang belum dicipta, presiden dibunuh dan sebagainya. Mereka sama sahaja sepertimana yang sedang kita lalui pada ketika ini di awal ketamadunan mereka. Jadi tiada apa yang hendak dihairankan.

Kenapa saya menyampaikan hujah ini? Sebabnya ialah untuk kita faham yang kita masih muda dan mentah, banyak yang perlu kita lakukan untuk bersaing. Janganlah kita rasa sejak kita lahir oleh kerana kita manusia kita sama dengan mereka, kita rasa kita boleh cipta apa yang mereka boleh cipta. Mana-mana tamadun sekalipun pada mulanya tidak tersusun, berterabur dan punya banyak masalah sebelum ia diperbetulkan. Ia perlukan masa untuk ia berkembang dan menjadi mantap. Bak kata orang putih “Rome is not built in one day” yang bermakna Rome tidak dibina dalam masa satu hari. Malaysia juga tidak dibina dalam satu hari, ia akan mengambil masa.

Begitupun Islam adalah sebahagian dari kita. Islam telah wujud sejak 1440 tahun yang lalu atau sekitar tahun 580 kalau diikut kalendar Masehi. Ini bermakna Islam jauh lebih awal dari penubuhan negara-negara Barat itu. Islam lebih matang, lebih mantap kalau dibandingkan dengan tamadun Melayu. Bagi yang faham 580 tahun itulah jarak masa ketiadaan Nabi antara Nabi Isa AS dengan Nabi Muhammad SAW. Ini kerana ugama Nasrani datang lebih awal dari Islam dan Islam adalah ugama yang lengkap dari segala ugama. Ugama yang diredai Allah Taala.

Dalam hal ini, banyak yang perlu kita perbaiki. Banyak lagi ruang dan kelompongan yang perlu kita isi baik dari segi politik, undang-undang, pendidikan, sains dan teknologi, pembangunan dan sebagainya. Sekarang kita punya prasarana tahap pertama namun mentaliti tahap ketiga, kita perlu ubah kepada prasarana tahap pertama dengan mentaliti tahap pertama juga dari segala segi.

Mungkin pengisian dalam blog ini akan dapat membantu. InshaAllah.

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhira
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;

BAB 5 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - SEJARAH DIRI KITA - MELAYU DI MALAYSIA

  


Nama anak saya Ammar bin Faizal bin Yusup bin Jamal bin Md Noh. Kalau ditanya, samaada dia kenal moyangnya jawapannya tidak. Walhal datuk nenek moyangnya juga pernah singgah di mukabumi ini. Nanti bila kita telah meninggalkan dunia ini, bila orang bertanya kepada cucu cicit kita mereka juga bakal memberikan jawapan yang sama. Mereka tak kenal kita malah sesilap kubur kita yang dah berlalang tu pun tidak diketahui dimana letaknya.

Begitu juga sekiranya saya tanya anda soalan-soalan berikut ini.

Siapakah moyang anda? Anda kenal ke tidak? Tanpa moyang anda anda tak ada datuk, tanpa datuk anda tak ada bapa dan begitulah seterusnya. Adakah moyang anda kaya? Adakah dia seorang ahli perniagaan? Doktor? Lawyer? Apakah ilmu yang telah disampaikan kepada anda? Dimanakah letaknya kubur beliau? Saya yakin anda juga tak tahu jawapannya. Yang pastinya rata-rata moyang kita adalah seorang peneroka tanah. Orang susah. Ilmu pengetahuannya juga sedikit.

Moyang suruh datuk kerja kerajaan kerana ada pencen katanya. Datuk suruh bapa kerja bank kerana ada bonus dan gajinya besar nasihatnya. Bapa sarankan kita dapatkan ijazah suruh kita jadi doktor, pilot, lawyer dan engineer. Datang pandemik Covid 19 semua pening kepala. Engineer, pilot dan lawyer tak ada pekerjaan dan doktor pula kerja 24 jam sehari semalam. Jadi apakah yang akan kita sarankan kepada anak cucu kita nanti?

Ia berbeza dengan bangsa Cina. Moyangnya berniaga dan mengajarkan ilmu perniagaan kepada anaknya. Datuk mengembangkan perniagaan tersebut, bapa pula terus memajukannya. La ni anak cucu mereka semua kaya raya kerana mereka semua terlibat dengan perniagaan. Kalau dibuat perbandingan ia jauh dari berbeza dengan bangsa Melayu. Berbeza dari banyak segi.

Zaman moyang kita ilmunya terhad, ilmu pengetahuan belum lagi berkembang seperti sekarang. Zaman ini ilmu berada di hujung jari. Pun begitu masih ramai yang tak berilmu kerana tidak menggunakan segala kemudahan yang ada untuk mencari ilmu tersebut.

Kesimpulan am pengisian ini ialah sebenarnya tamadun kita masih muda dan mentah dan banyak lagi yang perlu dilalui sebelum kita boleh menjadi negara maju dengan minda tahap pertama. Kesimpulan khusus pula ialah alang-alang singgah hidup di dunia tinggalkanlah tanda. Tulis buku, tanam pokok durian atau cipta sesuatu yang boleh digunakan dan membawa manfaat kepada generasi yang mendatang. Hidup ini sekali, nak jadi biasa boleh sahaja tapi kan lebih baik jadi luarbiasa!

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/


PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


Monday, September 6, 2021

BAB 6 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - ANDA MELAYU, BARAT, ISLAM?


MELAYU, BARAT, ISLAM?

Sebagai seorang yang lahir berbangsa melayu beragama islam di Malaysia, 3 ideologi iaitu nilai Melayu, Barat dan Islam merupakan nilai yang paling kuat mempengaruhi dan membentuk diri kita. Generasi baru ini pula disajikan dengan nilai-nilai budaya Korea Selatan pula dewasa ini.

Adakah ia benar atau salah tak pernah pula kita fikirkan. Mana yang perlu kita ambil dan praktikkan dalam kehidupan tak pernah pula kita kaji akan kebenarannya. Kita ikut sahaja membabi buta.

Mari kita lihat perbezaan prinsip di antara Orang Melayu, Orang Barat dan Islam.

PERBEZAAN PRINSIP

Orang Melayu ada toyol, hantu dan jembalang,
Orang Barat ada vampire, warewolf dan zombie,
Tapi Islam ada malaikat, jin dan syaitan...

Orang Melayu kata rezeki secupak takkan jadi segantang,
Orang Barat kata “Retire Rich, Retire Young”,
Tapi Islam kata berusahalah kamu seperti kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah kamu seperti kamu akan mati esok hari...

Orang Melayu kata kalau ada rezeki baru kahwin,
Orang Barat kata tak payah kahwin,
Tapi Islam kata nak dapat rezeki kena kahwin...

Orang Melayu kata nak senang kena simpan duit,
Orang Barat kata nak senang kena melabur,
Tapi Islam kata nak senang kena banyak keluar sedekah...

Orang Melayu kata dah kaya baru bantu orang miskin,
Orang Barat kata “The rich gets richer’
Tapi Islam kata kalau nak kaya kena bantu orang miskin...

Orang Melayu kata makan sampai kenyang,
Orang Barat kata “All you can eat”
Tapi Islam kata berhenti sebelum kenyang,

Semua nilai ini akhirnya mengelirukan orang melayu sampai dia sendiri tak tahu apakah dan manakah prinsip yang hendak dipegang. Akhirnya kita menggunakan logik akal dan pengalaman yang terdahulu untuk memandu arah tuju kehidupan kita.

Dalam ertikata lain dalam diri kita seakan ada 3 orang di dalam tubuh badannya iaitu Orang Melayu, Orang Barat dan Orang Islam. Kita boleh ucap selamat pagi kepada orang Cina, kita ucap good morning bila kita jumpa mat saleh dan kita ucap Assalamualaikum bila bertemu dengan Ustaz. Kita ada peratusan yang berbeza dalam diri mungkin 50% Melayu, 30% Islam dan 20% Barat sebagai contoh.

Apa kata kita pecah dan bahagikan 3 orang dalam diri kita ini.

Katalah kita 100% Melayu maka...

Apakah yang akan kita lakukan bila kita bangun pagi?

Mengeliat, Bangun, Masuk bilik air, buang air, mandi, keluar bilik air, bersiap, bersarapan, naik kenderaan dan pergi kerja.

Adakah kita akan makan babi? Makan jer sepertimana kaum melayu yang hidup di Sulawesi, Indonesia sebagai contoh. Bukan hanya makan babi, malah kelawar, ular dan kala jengking juga dimakan mereka. Bagaimana pula cara membunuh binatang tersebut? Ketuk sahaja kepalanya?

Kemudian katalah kita 100% mengikut ajaran Barat. Bagaimana pula bila bangun pagi?

Rasanya lebih kurang sama sahaja. Sesilap mandi pun tak. Hidup dengan prinsip mahukan kesaksamaan dan kebebasan yang mutlak hinggakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Pergaulan bebas, Seks tanpa hubungan pernikahan, bertukar pasangan, pasangan sejenis dan sebagainya.

Dalam hal ini cuma penerapan Islam sahaja yang jauh berbeza. Ini kerana ia serba lengkap. Ia punya garispanduan, adab dan tertibnya dalam semua perkara yang kita lakukan. 

Bagaimana pula sebagai seorang Islam? Bila bangun pagi?

Baca doa, masuk bilik air dengan kaki kanan sambil berdoa, ikut adab dan tertib, buang air pakai alas kaki, tutup kepala, mandi tutup aurat, keluar langkah kiri sambil berdoa, pakai baju baca doa, tengok cermin baca doa,  solat subuh dan sebagainya. Makan, minum, tidur, keluar rumah, naik kenderaan, bekerja malah berhubungan kelamin semuanya ada doa adab dan tertibnya. Kalau dilihat ini bermakna secara dasarnya ulama terdahulu telah memikirkan segalanya dan dalam hal ini kita diminta mengingati Allah Taala dalam apa juga yang kita lakukan.

Pengisian dan penerapan Islam tidak boleh dinafikan serba lengkap dan menyeluruh sebagai garispanduan kehidupan sejak dahulu hingga sekarang tidak seperti pengisian Melayu dan Barat yang serba kekurangan.

Dalam hal ini juga sebagai seorang yang beragama Islam kita tak boleh masuk Islam separuh-separuh. Kita mesti masuk Islam sepenuhnya. 100%! Ikut apa yang diperintahkan dan tinggalkan apa yang dilarang sama sekali. Kita kena mengislamkan diri kita sendiri dan mengeluarkan semua ideologi Melayu dan Barat dari dalam diri lebih-lebih lagi sekiranya ia bercanggah dengan hukum hakam keislaman.

Mengetahui hakikat ini maka seeloknya kita sebagai seorang Islam tidak perlulah percaya kepada berjuta hantu ajaran Melayu sejak zaman datuk nenek moyang terdahulu itu kerana ia langsung tidak disebut dalam Islam. Hanya Syaitan, Bidadari, Jin, Malaikat dan Iblis.

Nak tahu apa beza hantu Barat dengan hantu Melayu?

Hantu Barat seperti Dracula, Vampire, Werewolf dan Zombie ia kelihatan dan seperkara lagi ia ada kelemahan dan boleh dibunuh. Sinaran matahari dan kayu tajam yang ditikam di hati Dracula dan Vampire akan membunuhnya. Tembakan peluru perak akan membunuh Werewolf dan tembakan ke kepala mengenai otak akan membunuh Zombie.

Persoalannya bagaimana nak bunuh hantu momok? Bagaimana nak bunuh momok? Malah macamana rupabentuk dan warna momok pun kita tak tahu. Pernahkan sepanjang hidup anda bertemu dengannya? Ketahuilah kalau momok muncul berjisim dan berjirim macam kita pastinya kita boleh memenggal lehernya. Jadi pasti kalau mereka wujud mereka tak berani untuk memunculkan dirinya. 

Kemudian kalau difikirkan lebih mendalam kenapa pula hantu Melayu tak sama dengan hantu Amerika? Tak sama dengan hantu India dan langsung tak sama dengan hantu Cina? Lain tempat lain pulak hantunya. Sedang seluruh dunia manusia sama sahaja punya dua mata, satu hidung, dua telinga dan satu mulut yang terletak kepala.

Jadi dalam bab ini ingin FY tegaskan sekali lagi cukuplah kita percaya kepada Iblis, syaitan, jin dan malaikat. Perkara ghaib yang wajib kita percaya.

Faizal Yusup Al Haj
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
https://mindaakhirat.blogspot.com/

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan mambawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...