Wednesday, August 4, 2021

BAB 68 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - PERJALANAN MEMBERSIHKAN HATI

HATI YANG BERSIH

Dalam gambarajah di bawah ini bulatan putih menunjukkan orang yang membawa payung manfaat atau mempunyai hati yang bersih dan berminda akhirat dan sebaliknya bulatan hitam menunjukkan yang sebaliknya. Bulatan yang besar itu pula menerangkan subset orang-orang yang kita kenali di sekeliling kita. 



Dalam kehidupan seharian kita bakal bertemu dengan ramai orang yang terdiri dari mereka-mereka yang hatinya yang bersih dan juga yang kotor namun dalam kehidupan serba moden ini kebanyakan yang kita temui sebenarnya merupakan orang yang berada dalam kekotoran dan jarang-jarang kita bertemu dengan orang yang bersih hatinya. 

Persoalannya mudah; berapa ramai orang yang kita temui yang mengajak melakukan kebaikan, menyampaikan ilmu-ilmu keimanan dan keislaman dengan harapan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak kalau dibandingkan berapa ramai pula yang datang dan mengajak kita menuju ke arah kerosakan? Berapa ramai pula yang telah dijodohkan dengan kita sepanjang kehidupan kita yang cuba menyampaikan dakwah namun setiap peluang yang datang berkali-kali itu kita tolak mentah-mentah langsung tidak mempedulikannya. 

Saya yakin dari segi nisbahnya lebih ramai yang mengajak kita untuk mensia-siakan masa kehidupan dan melakukan kerosakan dari yang mengajak ke arah kebaikan.

Tanpa pengetahuan ini, kita akan menjalani kehidupan dengan menyangkakan yang semua orang yang kita temui itu serupa tetapi pada hakikatnya mereka semua berbeza dari tahap keimanannya. Sebenarnya ia terpulang kepada diri kita sendiri untuk memilih siapakah yang bakal menjadi sahabat, kawan atau lawan diri kita.
 


Bagi mereka yang memilih kawan-kawan yang kotor hatinya maka dia berkemungkinan akan menuju ke arah kegelapan sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah di atas. Bermula dengan berkawan dengan mereka-mereka yang menghisap rokok kemudiannya naik pangkat menjadi seorang penghisap dadah, mat rempit, kaki minum, kaki gaduh, kaki seks dan sebagainya. Secara jelas Allah Taala telah memerintahkan kita untuk menjauhkan diri dari kaki judi, kaki minum dan kaki-kaki yang lainnya disamping mengharamkan apa juga yang boleh mengkhayalkan namun inilah yang seronok untuk kita cari.

Pada masa ini secara automatik kita akan menolak orang-orang yang cuba menyampaikan pengisian ugama berdakwah, menyampaikan tazkirah, menegur dan memberi nasihat atau dalam perkataan lain kita menolak insan-insan yang bersih hatinya dari mendekati kita dengan mengutuk dan mengatakan yang mereka kolot dan sebagainya. Kita tutup pintu hati serapat-rapatnya.

    “ Pesanan kepada sahabat-sahabat walau dimana juga anda berada; janganlah mengalah dalam menjalankan usaha dakwah walau anda dikeji dan dicaci. Yakinlah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang benar! “. Lagipun dugaan dakwah para Nabi dan Rasul pastinya lebih teruk kalau dibandingkan dengan kita.

Dalam senario kebiasaan seseorang yang berhijrah atau ditakdirkan Allah dari satu tempat ke satu tempat yang baru boleh dilihat akan arah tujunya. Contohnya penghijrahan seorang yang berkahwin dan masuk ke dalam kelompok orang berminda akhirat yang mengutamakan prinsip keislaman maka ia menunjukkan yang penghijrahannya itu ke arah jalan yang lebih baik sebaliknya sekiranya dia berkahwin ke dalam kelompok orang yang bersifat keduniaan maka masalahlah yang bakal menunggu di hadapan. Senang cerita cuba perhatikan adakah anda dijodohkan dengan pasangan yang menutup aurat dengan keluarga mertua yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah atau sebaliknya?

Begitu jugalah penghijrahan sekolah atau rumah ke daerah yang baru, penghijrahan tempat kerja dan sebagainya. Adakah rumah anda semakin dekat dengan kejiranan yang orang-orang Islam yang banyak meluangkan masa di masjid atau sebaliknya dalam kelompok orang-orang kafir? Begitu juga dengan pekerjaan, perniagaan dan sebagainya. Perhatikanlah, adakah anda masuk ke dalam kelompok mereka yang berminda dunia atau adakah anda masuk ke dalam kelompok mereka yang berminda akhirat kerana ia bakal membawa kepada implikasi kehidupan yang berbeza.




Maka dalam hal ini beruntunglah orang-orang yang dijodohkan Allah Taala dengan mereka-mereka yang bersih hatinya, mereka yang beriman kepada Allah kerana sebenarnya Allah mahu membantu kita kembali ke jalan yang benar. Mereka ini akan mengikut hukum, menegur kesilapan, menasihati, menyampaikan pengisian, berdakwah dan sebagainya atas tiket ibadah.

Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka (yang bersifat demikian) itu, ialah orang-orang yang berjaya.

Al-Imran ayat 104 


Dalam senario yang lain pula, kita bertemu dengan keadaan berikut dimana seorang banduan yang baru keluar dari penjara atau seorang penagih dadah yang keluar dari pusat Serenti yang telah insaf dan bila dia dikembalikan ke tempat asalnya maka kemungkinan untuk dia kembali ke jalan asalnya sangat tinggi. Dalam hal ini satu sistem sokongan dan bantuan mesti disediakan untuk mengelakkan dia kembali ke dalam kegelapan. 




Keadaan ini samalah juga mereka-mereka yang telah mula dibuka pintu hatinya oleh Allah Taala dan bila dia kembali ke tempat asalnya maka kemungkinan ia kembali ke jalan kesesatan amatlah tinggi kerana dalam keadaan inilah syaitan dengan segala usaha ikhtiarnya untuk mengajaknya kembali pulang ke dalam kegelapan. Oleh itu carilah insan-insan yang bersih hatinya di sekeliling untuk menyokong dan membantu mengukuhkan keimanan ke tahap yang lebih tinggi. 

Pengukuhan keimanan lebih mudah didapati berjemaah dari mencarinya berseorangan, pada masa yang sama kekuatan berjemaah ini menyebabkan lebih sukar untuk diri ditembusi syaitan. Mungkin inilah sebabnya ganjaran pahala solat berjemaah 27 kali ganda lebih banyak dari solat berseorangan. Ini supaya kita dapat bersilaturahim dan mendekatkan diri dengan orang-orang yang soleh.




Bagi mereka yang faham dan sedar pula, mereka bakal memilih untuk berada dalam jalan selamat, jadi mereka akan memilih untuk mendekatkan diri dengan orang-orang yang bersih hatinya iaitu orang-orang yang dekat hatinya dengan Allah Taala. 

Apapun ini semua terletak kepada Allah Taala. Kalau Allah mahukan kebaikan pada kita maka pasti Dia akan mendekatkan diri kita dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya. Maka terpulanglah kepada kita untuk meneliti, berfikir dan membuat keputusan untuk kebaikan diri kita sendiri.

Mungkin inilah sebabnya kenapa Allah menyuruh kita berdampingan dengan orang-orang yang soleh kerana InshaAllah mereka akan dapat memberikan pengisian keimanan yang bakal membersihkan hati dan meningkatkan iman dengan izin Allah Taala. Begitu juga sekiranya Allah mahukan kebaikan maka digerakkan anda untuk berada di sini dan membaca isi-isi yang ada dalam blog ini lantas memberikan kefahaman yang mendalam mengenainya. InshaAllah.


Pada masa yang sama beruntunglah mereka-mereka yang mempunyai insan-insan yang putih hatinya di sekeliling mereka yang dapat bantu membantu dan hal dunia mahupun hal akhirat. Insan berhati bersih ini tak tentu perhubungannya dengan kita, mereka mungkin ibu kita, adik beradik, kawan dan sebagainya. Bak lirik lagu kumpulan nasyid Raihan “Iman adalah mutiara, ia tak boleh dijual beli, tak tidak dapat diwarisi dan ia tiada di tepian pantai”. 




Di zaman Nabi S.A.W. satu ketika dahulu di Madinah sewaktu keimanan berada di tahap yang tertinggi atau keimanan di tahap yang tepu maka boleh dikatakan semua orang yang ditemui merupakan orang yang bersih hatinya dan berminda akhirat. Agak sukar untuk berdakwah pada masa ini kerana keadaan ini. Mereka yang bersih hatinya bakal bertemu dengan hati yang bersih juga. Dalam perkataan lain orang yang soleh bertemu dengan orang yang soleh dan sekadar bertukar-tukar fikiran sepertimana yang digambarkan dalam gambarajah di atas.

Kemudian turunnya wahyu dari Allah untuk menjalankan dakwah yang menyebabkan lebih 100,000 sahabat-sahabat Nabi bertebaran di mukabumi untuk berdakwah memandangkan ganjaran yang dijanjikan Allah amat besar. Inilah sebabnya hanya tinggal lebih kurang 10,000 sahabat-sahabat Nabi yang tinggal dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ di Madinah. 

Inilah sasaran Rasullullah S.A.W. iaitu untuk menerangkan semua hati makhluk manusia di dunia ini dengan menjadikan kita semua orang-orang Islam yang beriman dan beramal soleh. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...