Saturday, September 4, 2021

BAB 19 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - KEDUDUKAN ELEMEN KEHIDUPAN




KEDUDUKAN ELEMEN KEHIDUPAN

Carta di atas menyusun kedudukan elemen kehidupan bagi seorang manusia tak kira lelaki atau perempuan. Siapa yang berada di atas dan siapa yang berada di bawah. Meletakkan mereka di tempat yang betul dan sepatutnya adalah amat penting dalam menjalani kehidupan seorang manusia.

Kedudukan yang teratas ialah Allah Taala, Tuhan yang mencipta segala yang ada di langit dan di bumi. Perkara pertama dan yang paling utama dalam kehidupan ini ialah menjadi seorang manusia ialah untuk menjalankan ibadah atau mengabdikan diri kepada Allah Taala. Ini bermakna kita sebagai manusia mestilah menjalankan apapun tindakan dan perbuatan dengan niat kerana Allah Taala. Allah paling utama.

Ibadah sebenarnya berada dalam rangkuman yang besar. Ini kerana ia tidak terhad hanya kepada hubungan dengan Allah seperti solat, puasa, zakat, sedekah, haji, zikir, mengaji Al Quran dan sebagainya tetapi ia juga merangkumi hubungan dengan manusia, binatang dan sebagainya. Amalan dalam rangkuman Fardhu Ain juga Fardhu Kifayah tak lain kerana Allah Taala.

Keutamaan kedua ialah Rasullullah SAW. Ini kerana Rasullullah SAW menzahirkan hukum Allah Taala dan kita akan dapat pahala sekiranya kita mengikut sunnah Rasulullah SAW dan akan dibangunkan bersama Baginda di akhirat kelak. Malah mungkin mendapat syafaat  daripada Baginda untuk ke syurga. Rasulullah SAW sebenarnya adalah benchmark atau petanda aras bagi manusia supaya manusia berada dalam rangkuman akhlak dan amalan ibadah yang sama. Kita juga tahu yang Nabi Muhammad SAW itu adalah kekasih Allah SWT.

Dalam hal ini kita kena ikut Sunnah Rasulullah SAW. Kita kena bersifat benar, bijaksana, hikmah dan menyampaikan disamping sifat mahmudah yang lain. Mulakan dengan niat kerana Allah dalam apa juga yang kita lakukan, makan dengan tangan kanan, bersifat ihsan, berani, bersopan, bersabar, yakin, tegas, bersangka baik, berkata benar, berakhlak mulia dan sebagainya serba lengkap dalam menjalani kehidupan ini sebagai manusia. Tiada apa yang tertinggal. Ia bakal menjadikan akhlak semua umat Islam sekata atau uniform, berdisiplin dan tersusun tak kira apa juga bangsanya. Kesamaan ini jugalah yang bakal menjadikan umat Islam bersaudara. Berminda akhirat!

Ketahuilah tanpa sunnah Nabi SAW ini sebagai rangkuman maka manusia atau kita semua akan menjalani kehidupan dengan bebas ikut suka hati dengan cara yang tersendiri. Nak makan berdiri dengan tangan kiri, tak perlu solat, tak perlu mandi, tak perlu menjaga kebersihan dan sebagainya malah kita mungkin jadi saling tak tumpah seperti kaum jahiliah dek kerana kejahilan.

Seterusnya dalam hiraki ini adalah kedua ibubapa. Dalam hal ini ibu tiga kali lebih utama dari bapa. Ini kerana ibu memegandungkan kita dengan susah payah selama 9 bulan sebelum kita dilahirkan. Kesakitan yang dialami semasa bersalin itu adalah rasa sakit yang tidak terhingga dan sukar digambarkan. Kalau tak percaya tanyalah para ibu yang pernah melahirkan. Kemudian ibu memelihara kita sejak bayi hinggalah kita membesar. Kalau dia tak pedulikan kita semasa kita bayi itu maka pasti sudah lama kita mati!

Banyak kisah yang tentang hubungan anak dengan ibubapa ini dan salah satu dari kisah tersebut adalah berkenaan seorang pemuda yang ke syurga kerana menjaga dan memelihara kedua ibubapanya yang merupakan dua ekor babi. Ini jelas menunjukkan yang kita mesti menghormati dan menyayangi ibubapa kita walau siapa atau apapun mereka, janganlah merasakan duit yang kita berikan, harta, pangkat, nama dan kelebihan yang ada pada kita membolehkan kita bersifat kurang ajar kepada kepada mereka. Sedarilah Allah Taala tak memberikan hak tersebut kepada kita. Itu BUKAN fungsi anak kepada kepada ibubapanya.

Kita juga selalu mendengar hadith dan ungkapan seperti syurga anak letaknya di bawah kaki ibunya, doa ibu merupakan doa yang paling mujarab, untuk mendapat keredaan Allah Taala hendaklah kita mendapatkan keredaan Ibubapa, janji Allah seorang anak yang derhaka kepada ibubapa akan dibalas tunai di atas dunia dan sebagainya. Itu dari sudut keislaman tetapi kalau diukur dari sudut kemanusiaan, sudut moral sekalipun ia tetap sama. Ibu yang memegandungkan kita selama lebih 9 bulan itu mesti dihargai dan disayangi. Mereka berada dalam ranking yang atas juga. Namun demikian di akhir zaman ini si anak telah menjadi tuan dan kedua ibubapanya menjadi hamba kepada anaknya. Ramai ibubapa yang takut dengan anaknya, ikut sahaja apa kehendak anak-anak tanpa soal walaupun ia merupakan sesuatu yang salah. Anak pula bersifat kurang ajar dan menyusahkan kedua orangtuanya.

Kemudian dalam hiraki ini, lelaki terletak di atas perempuan, suami berada di atas isteri dari segi rankingnya. Abang di atas adik, yang tua di atas yang muda, majikan di atas pekerja, cikgu di atas murid dan begitulah seterusnya. Apa yang terjadi dewasa ini semuanya sudah terbalik. Rata-rata di zaman ini kita dapat lihat ramai suami takut dengan isteri mereka, ramai adik yang membuli abangnya, ramai murid yang tidak menghormati gurunya menjadi kelaziman.


Makhluk lain dan produk ciptaan manusia semua berada dalam kelompok yang bawah yakni lebih rendah dari kita sebagai manusia. Makhluk jin, iblis, nafsu, bosan, stress, tertekan, duit, nama, gelaran, pangkat, ilmu, amal, dadah, arak, rokok, kereta, iphone, hand bag, jam atau apapun juga rendah rankingnya.

Kepada mereka yang tahu akan letaknya semua ini maka mereka akan berada dalam keadaan yang baik. InshaAllah semua elemen kehidupan mereka akan tersusun dengan sempurna. Malangnya dewasa ini di zaman moden ini ramai yang tak sedar malah tak tahu mengenainya. Atas sebab inilah ramai manusia yang syirik kepada Allah Taala, tidak ikut sunnah Rasulullah SAW. Derhaka kepada ibubapa. Isteri kurang ajar kepada suami, adik tidak menghormati abang dan sebagainya.

Lebih teruk lagi bila seseorang manusia itu meletakkan makhluk lain yang lebih rendah dari kedudukannya sendiri di atas kepala. Kalah dengan dadah, rokok, arak, makanan, karaoke, club, golf, memancing, kereta, motor dan banyak lagi. Kemudian kalah juga dengan sifat dan perasaan. Kalah dengan tekanan, stress, kesedihan dan sebagainya sedangkan kita manusia makhluk paling mulia di sisi Allah Taala.

Bila manusia syirik kepada Allah Taala ini adalah kesalahan yang paling besar kerana kesalahan ini adalah satu kesalahan yang tak akan diampunkan Allah Taala. Sebagai seorang Islam Nabi SAW adalah contoh dan teladan yang terbaik bagi kita. Cuba lihat apa yang akan terjadi andai ada orang kafir yang mempersendakan Rasulullah SAW. Pasti mereka itu akan diperangi habis-habisan oleh umat Islam.

Dewasa ini ramai anak yang menjadi tuan dan ibubapanya menjadi hamba. Hanya kerana mereka belajar lebih tinggi atau mereka lebih berharta dari ibubapanya maka mereka merasakan mereka lebih bagus lantas bersifat kurang ajar. Begitu juga bila si isteri belajar lebih tinggi atau berpangkat lebih besar mereka merasakan mereka boleh mengarah suami untuk buat itu ini.

Tak kurang juga mereka yang taksub kepada seks, duit, harta, nama, gelaran, arak, dadah dan makhluk lain.

Semua ini hakikatnya adalah satu kesalahan. Dah jadi umpama cerita karya P. Ramlee berjudul Keluarga 69. Semua benda dan kedudukan menjadi rojak. Bercampur aduk. Inilah sebabnya berlaku keretakan dan perpecahan, pergaduhan dan cerai berai.

Jadi dengan memahami carta ini, susun dan letaklah semua elemen ini di tempat yang betul dan sepatutnya. InshaAllah keadaan akan menjadi lebih baik nanti.

HORMATI DAN SAYANGI KEDUA IBUBAPA

Dikemaskini pada 20 Feb 2022

Semua ini jelas menunjukkan yang ibubapa mesti dihormati, dipatuhi dan disayangi oleh seorang anak. Janganlah menyalahkan ibubapa atas apapun juga, bersyukurlah kerana kita diberi nikmat mempunyai ibubapa tidak seperti segelintir anak yatim piatu yang tak merasai nikmat tersebut. Mintalah izin, doa dan restu daripada mereka untuk melakukan apapun juga tindakan. Seharusnyalah kita berkejar-kejaran untuk memenuhi semua kehendak kedua ibubapa kita dan sepatutnya kita bertanya dan meminta kepada mereka peluang-peluang untuk melakukan kebaikan kepada mereka kerana ganjarannya amat besar. Hakikatnya kedua ibubapa adalah gedung pahala buat kita.

Malangnya dewasa ini semakin ramai yang meminggirkan ibubapa mereka, semakin ramai yang menghantar mereka ke rumah-rumah penjagaan orang-orang tua. Ada satu kes yang mana ibunya di hantar ke rumah orang tua kerana anaknya malu selepas mendapat tahu ibunya pernah menjadi pelacur. Kemudian ada juga yang jahil dan mendahulukan isteri dan anaknya lebih dari kedua ibubapanya. Sanggup berkorban untuk anak isteri tetapi kedua ibubapa dipinggirkan. Sedarlah yang ini sebenarnya merupakan satu kesilapan yang nyata.

Ini kerana dari segi susunan ibubapa berbakti kepada kita anaknya dan sebagai balasan kita berbakti kepada kedua ibubapa kita. Begitu jugalah perihalnya bila kita dewasa dan berumahtangga maka susunannya tetap sama. Kita berbakti kepada anak-anak dan tugas merekalah pula untuk membalasnya kepada kita.

Cuba lihat dan kaji mereka-mereka di sekeliling anda. Orang yang berbakti kepada kedua ibubapa mendapat pelbagai kebaikan dan ganjaran di masa ini malah di masa tuanya sedangkan mereka yang derhaka dan tak patuh mengalami nasib yang berbeza dalam sedar mahupun tidak.

Mungkin ada yang menyatakan mereka mahu hidup bebas di dunia ini dan merasakan yang Islam itu mengongkong, namun hakikatnya mereka-mereka yang beriman kepada Allah dan mengikut hukum hakamnya sebenarnya merasa nikmat dan kelazatan yang sukar dimengertikan. Ia hanya dirasai dan dinikmati oleh mereka-mereka yang merasainya. Mereka gembira mengikut perintah Allah, suka untuk mengikut sunnah Rasullullah SAW dan tak akan peduli apa yang orang lain akan kata kerana hukum Allah yang paling teratas dalam kehidupan mereka.

Oleh itu beribadatlah, rapatkan hubungan dengan Allah SWT, ikut perintahNya dan hindari laranganNya, ikutilah sunnah Rasullullah SAW dan akhir sekali berbakti dan patuhlah kepada kedua ibubapa anda walau siapapun mereka. InsyaAllah kebaikan dan ganjaran Allah SWT akan bersama anda sepanjang hayat di muka bumi ini.

Satu ingatan,

Kalau kita diberi pilihan untuk memilih mana-mana ibubapa di muka bumi ini kita akan tetap mendapat kedua ibubapa yang tak sempurna sifatnya kerana itulah hakikat sifat manusia. Tidak sempurna. 

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


1 comment:

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...