Wednesday, September 22, 2021

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat.

Terima kasih kerana sudi singgah ke blog ini. Tahniah kerana dengan ketentuan Allah anda berada di sini. 

MUKADDIMAH

Dalam diri kita seorang berbangsa Melayu dan beragama Islam seakan ada 3 orang di dalam tubuh badannya iaitu Orang Melayu, Orang Barat dan Orang Islam. Kita boleh ucap selamat pagi kepada orang Cina, kita ucap "good morning" bila kita jumpa Mat Saleh dan kita ucap Assalamualaikum bila bertemu dengan Ustaz. Kita ada peratusan yang berbeza dalam diri mungkin 50% Melayu, 30% Islam dan 20% Barat sebagai contoh.

Apa kata kita pecah dan bahagikan 3 orang dalam diri kita ini. Apa kata kita buang semua pengisian Islam dan Barat dalam diri kita,

Katalah kita 100% Melayu maka...

Apakah yang akan kita lakukan bila kita bangun pagi?

Mengeliat, bangun, masuk bilik air, buang air, mandi, keluar bilik air, bersiap, bersarapan, naik kenderaan dan pergi kerja.

Adakah kita akan makan babi? Makan jer sepertimana kaum melayu yang hidup di Sulawesi, Indonesia sebagai contoh. Bukan hanya makan babi, malah kelawar, ular dan kala jengking juga dimakan mereka. Bagaimana pula cara membunuh binatang tersebut? Ketuk sahaja kepalanya?

Kemudian katalah kita 100% mengikut ajaran Barat. Bagaimana pula bila bangun pagi?

Rasanya lebih kurang sama sahaja. Sesilap mandi pun tak. Hidup dengan prinsip mahukan kesaksamaan dan kebebasan yang mutlak hinggakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Pergaulan bebas, Seks tanpa hubungan pernikahan, bertukar pasangan, pasangan sejenis dan sebagainya.

Dalam hal ini cuma penerapan Islam sahaja yang jauh berbeza. Ini kerana ia serba lengkap. Ia punya garispanduan, adab dan tertibnya dalam semua perkara yang kita lakukan. 

Bagaimana pula sebagai seorang Islam 100% Bila bangun pagi?

Baca doa, masuk bilik air dengan kaki kiri sambil berdoa, ikut adab dan tertib, buang air pakai alas kaki, tutup kepala, mandi tutup aurat, keluar langkah kanan sambil berdoa, pakai baju baca doa, tengok cermin baca doa,  solat subuh dan sebagainya. Makan, minum, tidur, keluar rumah, naik kenderaan, bekerja malah berhubungan kelamin semuanya ada doa adab dan tertibnya. Kalau dilihat ini bermakna secara dasarnya ulama terdahulu telah memikirkan segalanya dan dalam hal ini kita diminta mengingati Allah Taala dalam apa juga yang kita lakukan.

Pengisian dan penerapan Islam tidak boleh dinafikan serba lengkap dan menyeluruh sebagai garispanduan kehidupan sejak dahulu hingga sekarang tidak seperti pengisian Melayu dan Barat yang serba kekurangan.

INILAH SEBABNYA ANDA MESTI BACA BLOG MINDA AKHIRAT INI…

Percayalah pengisian dalam blog ini akan memberi banyak manfaat dan kefahaman dalam kehidupan seterusnya akan membawa kepada ketenangan dan kesejahteraan dalam hidup sekiranya anda mengikuti SEMUA pengisian dan pencerahan yang ada di dalamnya. Tak banyak. Cuma ada 70 bab sahaja namun ia akan dikemaskini dari masa ke semasa. InshaAllah. 

Sebagai pembuka bicara, izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Haji Faizal Yusup. Insan biasa, anak Pak Gad, penulis 12 buah buku. 4 darinya ialah buku motivasi dan 2 darinya memenangi Dana Anugerah Penulis daripada Kementerian Multimedia dan Komunikasi pada tahun 2012 dahulu. Saya lebih dikenali sebagai seorang sifu saham di Bursa Malaysia.

Tak mengapalah itu tak penting. Anggaplah saya hanya sebagai seorang posmen yang menyampaikan surat yang amat penting. Posmen tak penting, apa yang penting ialah input yang disampaikan. Niat saya tak lain hanya kerana Allah Taala.

Sejak pandemik Covid19 melanda negara ia telah membawa impak yang teruk kepada majoriti penduduk negara ini. Ramai yang terjejas. Ada yang dipotong gaji, ada yang hilang pekerjaan, perniagaan terjejas kerana PKP dan sebagainya. Gangguan terhadap mata pencarian pula membawa kepada masalah yang lain pula antara tekanan atau stress serta kemurungan yang lantas membawa kepada pengambilan dadah, alkohol dan sebagainya. Seterusnya menyebabkan masalah perhubungan, keretakan rumahtangga, penceraian, masalah mental malah lebih teruk lagi hingga ada yang membunuh diri.

Kemudian saya juga nampak begitu banyak perselisihan dan perbalahan di kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam dari semua peringkat. Dari pemimpin politik ke ahli akademik, ahli ugama dan menuju ke bawah di kalangan orang awam. Ummah nampaknya semakin tenat hingga ada yang tergelincir aqidahnya daripada pandangan kacamata saya. Bukankah kita manusia kena bersatu, menjaga silaturrahim dan berkasih sayang. Bukankah kalau nak masuk syurga Allah kita kena miliki hati yang sejahtera?     

Terkesan melihat situasi ini, saya mengambil keputusan untuk memulakan satu program atau satu gerakan yang saya namakan sebagai program Minda Akhirat.

Kenapa?

Kerana saya yakin pegangan minda akhirat iaitu menjalani kehidupan dengan menggunakan mata hati yakni melakukan apa sahaja dengan melihat kepada apakah implikasinya kepada hari akhirat kelak atau menjalankan sesuatu pekerjaan dengan menganalisis samaada pekerjaan itu berada dalam landasan syariat yang diredai Allah Taala atau tidak. Pegangan ini telah membawa kebaikan yang banyak buat saya dan saya harap dengan menghurai dan berkongsi semua ilmu yang Allah kurniakan sepanjang hidup ini juga bakal membawa kesan yang serupa dalam hidup anda tak kira anda berada di mana walau dalam apa juga yang anda lakukan. InshaAllah.

Lagipun sebagai orang Islam kita tahu yang "kalau kita kejar dunia, dunia akan jadi sempit buat kita tetapi kalau kita kejar akhirat, dunia dan akhirat akan menjadi lapang buat kita..."

Inilah asas program Minda Akhirat ini.


Program Minda Akhirat ini sebenarnya lebih kepada pengisian peringkat asas yang perlu diketahui oleh semua orang dan ia dibentuk khas untuk orang melayu beragama Islam di Malaysia. Saya bukan Ustaz yang boleh menyampaikan ilmu ugama peringkat tinggi. Saya hanya berkongsi ilmu-ilmu asas peringkat rendah. Yelah kalau kita tak belajar di sekolah rendah manakan kita boleh belajar di peringkat Diploma, Ijazah dan sebagainya. Anda boleh belajar dengan ramai lagi ustaz-ustaz di Malaysia malah di dunia untuk belajar yang peringkat tinggi itu. Di sini pengisiannya ialah pengisian peringkat asas tapi ia AMAT penting kerana kalau kita tak punya ilmu peringkat dasar ini maka kita takkan berjaya dalam peringkat yang lebih tinggi.

Analoginya mudah, semasa bayi, kita belajar merangkak dahulu baru bertatih. Kita belajar bertatih dahulu sebelum kita boleh berjalan dan seterusnya berlari. Jadi di sinilah asas permulaannya.

Sebagai permulaan saya minta anda semua lapangkan dada. Kosongkan minda dan mula masukkan pengisian Minda Akhirat ini satu persatu ke dalam hati anda. InshaAllah ia akan bawa banyak kebaikan buat diri anda. Percayalah. "Untuk berjaya di dunia kita perlukan ILMU dan untuk berjaya di akhirat juga kita perlukan ILMU!" Jangan risau pengisian silibus Minda Akhirat disusun dengan sistematik dan berstruktur. Ia semudah abc. Bacalah dengan tertib dari mula.

Manalah tahu selepas selesai pengisian ini anda menjadi seorang yang berminda akhirat, punya akhlak yang mulia, berkasih sayang, sentiasa berpegang pada tali Allah seterusnya dikurniakan dengan petunjuk dan hidayah lantas menjadi seorang yang tenang lagi sejahtera, seorang yang beriman dan beramal soleh dan akhirnya menjadi mukmin yang berada dalam lindungan dan peliharaan Allah Taala yang berjaya di dunia dan di akhirat. InshaAllah. 

Sekiranya anda mendapati yang huraian dan pencerahan Minda Akhirat ini bermanfaat, sudilah kiranya anda kongsikan ilmu ini kepada sesiapa sahaja. Ia ilmu Allah, ia sama sekali percuma! 

Salam perkenalan. Semoga Allah meredai segala usaha ini. Amiinn. InshaAllah.

Sekian dulu buat kali ini.

Faizal Yusup Al Haj
0166667430

Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...
www.mindaakhirat.com

PS - Blog ini hanya ada 70 bab sahaja dan saya akan mengemaskini pengisiannya dari masa ke semasa demi mengukuhkan pengisiannya. Apapun sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;




 
2 Ogos 2021

1 comment:

  1. Salam... Alhamdulillah.. jazakallah.. tabarakallah sifu.. 🫰

    ReplyDelete

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...