Monday, September 6, 2021

BAB 10 - MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH - HIDUP DI DUNIA YANG PENDEK


HIDUP DI DUNIA YANG PENDEK

Dalam topik ini, saya ingin menceritakan tentang jangkamasa kehidupan kita yang singgah di alam dunia ini hakikatnya terlalu pendek. Saya rasa topik ini penting kerana ada diantara kita yang menjalankan kehidupan seakan yang kita akan hidup selama-lamanya atas dunia ini atau hidup secara spontan mengikut keadaan semasa tanpa memikirkan kehidupan secara keseluruhannya yang akhirnya akan menuju kematian. Ingatlah kita hanya singgah di muka bumi ini sekadar kurang lebih 70 tahun atau 25,550 hari sahaja. Saban hari kita sebenarnya sedang melangkah menuju ke arah kematian.

Bumi ini telah berada di sini sejak sekian lama. Kita pula sebenarnya berada di sini hanyalah untuk jangkamasa yang begitu pendek. Misalnya, kita belum berada di bumi ini pada zaman Nabi dahulu, kita tak tahu bagaimanakah keadaannya di zaman tersebut dan kita tidak dapat melihat bagaimanakah keadaannya sebelum lampu dicipta, kita tak tahu bagaimanakah keadaannya semasa perang dunia pertama dan kedua, kita tak tahu bagaimana rasanya negara ini dijajah dan sebagainya.

Apa yang kita tahu ialah kita menggunakan lampu yang dicipta Edison, menggunakan telefon yang dicipta oleh Alexander Graham Bell, kita memegang Sunnah Nabi SAW walaupun semua mereka telah tiada lagi dimuka bumi ini berabad lamanya. Persinggahan mereka di muka bumi membawa manfaat kepada kita.

Katalah kita singgah di bumi ini antara tahun 1950 dan hidup selama 50 tahun dan meninggalkan dunia pada tahun 2000, jadi bagaimanakah keadaannya? Kita berumur 10 tahun untuk mendengar lagu pop yeh-yeh. Pada masa itu di rumah kita tiada radio, tiada televisyen mahupun telefon begitu juga tiadanya elektrik tetapi 30 tahun kemudian pada umur 40 tahun, semua tadi telah dicipta dan dapat kita lihat di depan mata.

Bila kita mati kelak, kemungkinan juga kita tak akan dapat melihat pembangunan dan penciptaan yang akan berlaku di masa yang akan datang. Siapa tahu di masa yang akan datang, kemungkinan motor boleh terbang dan tak lagi menggunakan minyak, bangunan pencakar langit yang berkali ganda lebih tinggi dari yang ada sekarang, perjalanan jauh mengambil masa yang jauh lebih cepat, manusia dan biantang klon mungkin akan berada di sekeliling kita dan sebagainya.

Bumi ini pula berkemungkinan akan terus berada di sini beribu tahun lagi dan cuma penduduknya sahaja yang bertukar ganti. Dalam lain perkataan, secara relatifnya, kita hanya tinggal di sini hanya beberapa saat.

Masa begitu cepat berlalu, dalam masa yang singkat kita telah pun berumur 10, 20, 30, 40 tahun tanpa kita sedari. Apakah yang telah kita lakukan dan apakah pencapaian serta sumbangan kita selama hari itu?

Bagaimanakah kita bakal diingati pula oleh anak cucu kita? Cuba anda lihat di tanah perkuburan banyak nama ada di sana. Adakah sipolan bin sipolan itu dikenali oleh anak cucunya. Adakah anda sendiri kenal akan moyang oneng anda. Apakah pekerjaan moyang kita itu, kacakkah orangnya, dimanakah kuburnya? Pernahkah anda melawat kuburnya? Sebagai contoh katalah nama anda Ali. Nama bapa anda Abu. Ali bin Abu, Abu bin Bakar, Bakar bin apa? Kemudian Ali pula mendapat anak bernama Adi, Adi dapat anak bernama Ami, Ami mendapat anak  bernama Ani. Ani binti Ami bin Adi bin Ali. Bila ditanya Ani mengenai Ali, dia juga tak tahu apa-apa mengenai moyangnya itu.

Kita tak kenal moyang kita dan kita juga tak tahu bagaimanakah karektor mereka. Mereka hidup di zaman yang berlainan dengan kita. Begitu juga kita, kita akan mati dan kemungkinan besar cucu cicit kita tak akan mengenali kita sepertimana kita tidak mengenali moyang oneng kita. Oleh itu apakah yang boleh kita lakukan atau sumbangkan untuk mereka agar mereka mengingati mahupun tahu akan kewujudan kita? Kalau difikirkan kita hanya boleh melakukan sumbangan semasa kita singgah di mukabumi ini sebab kalau kita dah mati tak ada apa yang boleh kita buat lagi. Ada kemungkinan cicit anda akan lebih kenal pada saya sebab dia terbaca blog ini kelak. Siapa tahu?
  
Bagaimana pula kita mahu diingati? Sebagai seorang yang baik atau sebaliknya. Inilah persoalannya. Ada pula di tanah perkuburan yang lama anda dapat lihat keadaannya yang tidak terpelihara seakan tidak ada sesiapa lagi yang menziarahinya. Mungkin mereka hidup di muka bumi ini dalam jangkamasa yang pendek dan meninggalkan dunia ini tanpa disedari.

Walaupun demikian kita kenal pada nabi-nabi melalui hikayat dan kitab Al Quran, kita kenal Ibnu Sina, Mahatma Gandhi, Martin Luther King, Tun Abdul Razak mahupun P. Ramlee walaupun mereka telah lama meninggalkan bumi ini. Kenapa? Saya rasa kerana impak yang mereka tinggalkan kepada yang ramai yang mana menyebabkan mereka masih lagi diingati hingga ke hari ini.

Arwah bapa saya hidup atau singgah di mukabumi ini dari tahun 1948 dan meninggal dunia pada umur 53 tahun pada tahun 2001. Saya pula mungkin akan singgah di sini buat jangkamasa yang sama dan sekiranya saya hidup selama 53 tahun juga maka saya akan meninggalkan dunia ini pada tahun 2023. Jadi apakah yang dapat saya lakukan selama saya tinggal di sini? Mungkin hanya tulisan-tulisan ini buat anda semua dengan harapan ia membawa kebaikan kepada anda sidang pembaca yang saya kasihi sekelian.

Saya hanya sempat bertemu dengan arwah bapa saya di mukabumi ini antara tahun 1970 hinggalah ke tahun 2001 iaitu selama 31 tahun. Jadi saya pula sempat bertemu dengan anak-anak saya selama berapa tahun dan apakah yang dapat saya lakukan sepanjang masa itu?

Oleh itu pada hemat saya, sepanjang kita berpeluang untuk singgah hidup di muka bumi ini sebaiknyalah kita melakukan yang terbaik dengan menyumbang kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara. Ini lebih baik dari kita bermusuhan, melakukan kejahatan, menzalimi orang lain dan sebagainya. Maafkanlah sahaja orang yang menganiaya kita. Hidup ini terlalu pendek, apa kata kita jalankannya dengan hati yang tenang dan dalam kegembiraan selalu kalau dibandingkan dengan selalu berada dalam gundah gulana penuh permasalahan.

Menurut maksud sebuah hadith dari Ibnu Umar, Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang siapakah manusia yang paling bijak dan cerdas otaknya. Jawapan baginda :

“Yang paling banyak mengingati mati dan membuat bekalan / persiapan untuk menghadapi mati".


MASA HIDUP YANG PENDEK

Katalah kita hidup setakat umur 60 tahun.

Maka secara keseluruhannya pembahagian masa hidup kita akan jadi begini : 

Purata tidur 8 jam sehari                    = 8 jam / 24 jam sehari X 60 tahun

                                                            = 20 tahun dihabiskan untuk tidur.

 

Purata kerja / belajar 8 jam sehari = 20 tahun dihabiskan bekerja / belajar.

 

Purata masa makan ( makan pagi, tengahari, petang dan malam )

2 jam sehari                                        = 2 jam / 24 jam X 60 tahun

                                                            = 5 tahun dihabiskan untuk makan.

Mungkin kerana kesedaran ini orang Barat mencipta makanan yang mudah dimasak dan mengambil masa yang singkat. Restoran “Fast Food” seperti Mc Donald’s, KFC, Pizza, Denny’s dan lain-lain berada di mana-mana sahaja di negara mereka. Tidak seperti orang kita yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan masakan hinggalah tiba masa makan. Kalau masak lemak cili padi pun mengambil masa. Bayangkanlah pula masa yang diambil untuk memasak lemang, dodol, ketupat dan sebagainya.

Kalau difikirkan kita berpeluang mengisikan masa ini dengan membaca dan sebagainya. Mungkin ibubapa kita akan marah kalau kita makan sambil membaca. Tetapi ini lebih mengingatkan saya akan petua orang-orang kita yang membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada sebekas air dan air ini kemudiannya diminum bagi tujuan menyembuhkan penyakit, penerang hati dan sebagainya. Ada juga petua mereka yang mengatakan kalau ingin mudah menghafal kita seharusnya membaca sambil makan atau minum kerana ia akan masuk dengan makanan yang kita makan itu. Mungkin petua ini boleh digunakan setiap kali kita makan dengan yang demikian kita tidaklah menggunakan masa tersebut semata-mata untuk makan.

Purata masa diambil dalam perjalanan ( naik bas, kereta, berjalan kaki )

1 jam sehari                                      = 1 jam / 24 jam X 60 tahun

                                                        = 2.5 tahun dihabiskan untuk perjalanan.

Ada di kalangan rakan sepejabat saya yang selalu bertanya kenapa saya menunggang motor ke pejabat sedangkan saya mempunyai kereta dan mengapakah saya memandu macam lipas kudung? Maka inilah penerangan saya. Saya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke pejabat kalau dibandingkan dengan dia yang mengambil masa 1 jam 15 minit memandu kereta dari Shah Alam ke KL. Yelah mungkin dia tidak kena hujan dan dapat menunjukkan prestij kerana mempunyai kereta, namun 2 jam yang saya jimat pergi dan balik dapat saya gunakan untuk bersama anak-anak iaitu sejam di sebelah pagi dan sejam lagi di sebelah petang atau saya boleh menggunakan untuk produktiviti yang lainnya.

Apa yang dapat kita buat terperangkap dalam “traffic jam“ di dalam kereta? Kita tidak dapat membaca, bersama anak-anak dan sebagainya. Paling kuat kita dapat berzikir, mendengar radio dan berhubungan melalui telefon tak lebih dari itu. Perjalanan jauh itu juga akan memenatkan dan menambahkan risiko kemalangan kerana jangkamasa kita yang lebih lama di atas jalanraya. Kosnya juga jauh lebih tinggi.

Maka beruntunglah mereka yang tinggal dekat dengan tempat kerja / berniaga kerana mereka mempunyai lebih masa untuk menjalankan produktiviti lain. Ada juga yang menaiki kenderaan awam tetapi menghabiskan masa tersebut dengan sia-sia belaka dengan memerhatikan kerenah manusia setiap hari. Orang Jepun menghabiskan masa membaca semasa dalam perjalanan dan mereka sentiasa membawa buku ke mana sahaja mereka pergi. 

Purata masa mandi dan bersiap ( mandi pagi, mandi petang dan bersiap )

1 jam sehari                                        = 1 jam / 24 jam X 60 tahun

                                                            = 2.5 tahun dihabiskan untuk mandi

                                                               dan bersiap.

Dahulu nenek moyang kita mandi dan bersiap dengan kadar yang jauh lebih cepat. Kenapa? Ini kerana pada masa itu “syampoo, conditioner, facial wash” dan sebagainya belum lagi dicipta. Jadi mereka mandi ala kadar sahaja. Bab bersiap pula mengambil masa yang lebih lama lebih-lebih lagi bagi kaum perempuan. Kena pakai bedak, gincu, maskara, losyen muka, losyen badan, minyak wangi dan entah apa-apa lagi. Itu belum lagi betulkan tudung. Masa terbuang begitu sahaja.

Kalau kita bandingkan dengan orang Barat, ramai yang bangun pagi terus bersiap ke tempat kerja atau pejabat tanpa mandi. Mungkin mereka ingin menjimatkan masa tak? Terkenangkan saya masa di Amerika dahulu, bau badan Mat Saleh ni tak usah nak cakaplah. Bayangkanlah 40 orang dalam kelas yang semuanya tak mandi pagi. Bau ha-kung yang keluar. ( hamis + pekung ) Mau tak pening kepala. Mereka juga tidak membuang masa untuk membuka kasut kalau ke mana-mana. Apa yang saya perkatakan bukanlah untuk kita meniru nilai budaya mereka. Saya cuma ingin memberi penekanan kepada penghargaan masa.

Purata beramal 1 jam sehari  = 1 jam / 24 jam X 60 tahun

                                           = 2.5 tahun yang akan dibawa ke akhirat kelak. Cukup ke?

Faizal Yusup Al Haj
0166667430
Minda Akhirat
Hidup Kena Cool, Hati kena Mulia...

www.mindaakhirat.com

PS - Sekiranya anda membaca semua 70 bab dalam blog Minda Akhirat ini mengikut tertib dan susunannya saya percaya sesuatu akan berlaku di dalam hati anda dengan izin Allah Taala. Ia akan membawa kebaikan yang banyak dalam hidup anda. Percayalah. Kalau anda tak percaya, bacalah!

PSS - Anda juga boleh menonton semua pengisian ini dalam bentuk video di Instagram Minda_Akhirat. Layari ;


atau di Youtube, Like dan subscribe yer. Layari ;


atau di Tik Tok, layari ;


No comments:

Post a Comment

PENGENALAN BLOG MINDA AKHIRAT MENCARI HIDAYAH

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Selamat datang ke blog Minda Akhirat. Terima kasih kerana sudi singgah ke ...